Saturday 28 December 2013

Ditangkap Kerana Membaling Batu


ALOR GAJAH - “Saya baling batu sebab ‘hot’ (marah), takda orang bantu kereta saya rosak,” kata seorang juruteknik pendingin hawa sebelum dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM1,000 oleh mahkamah majistret di sini, semalam.


Hukuman diputuskan Majistret Nor Azizah Yusof terhadap Amir Nudin Ali, 33, yang mengaku bersalah ke atas dua pertuduhan menyebabkan cermin kereta pecah dan membahayakan dua individu yang disabitkan ke atasnya.



Berdasarkan pertuduhan pertama, Amir didapati membaling sebiji batu ke arah cermin kereta nombor pendaftaran WRL 2672 milik Mohamad Faiz Noorman, 26, menyebabkan cermin pecah dan membahayakan pemandu di dalam kereta berkenaan.



Amir turut dituduh membaling batu ke arah cermin kereta bernombor pendaftaran MCJ 1034 milik Hamiza Hasan, 23, hingga menyebabkan cermin kereta tersebut retak dan boleh membahayakan pemilik di dalam kereta itu.



Dia yang melakukan kedua-dua kesalahan di bawah jejambat Lebuh Ayer Keroh kira-kira jam 6.30 petang pada 22 Disember lalu, didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau dengan kedua-duanya sekali.



Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan sebelum Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Safri Mohammed Na’aim memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran.



Bagi setiap pertuduhan,  Nor Azizah  menjatuhkan hukuman penjara penjara sehari  dan denda RM500 atau 10 hari penjara jika gagal membayar denda.


No comments:

Post a Comment