Friday 27 December 2013

Bayi Sakit Dibawa Ke IJN Menaiki Pesawat TLDM


KUALA LUMPUR - Sebuah pesawat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini membuat penerbangan ihsan membawa seorang bayi lelaki berusia sembilan hari yang mengalami komplikasi jantung untuk dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), di sini.


Bayi bernama M. Movineshrao itu diterbangkan dari Hospital Seri Manjung, Perak dan tiba di padang Hospital Kuala Lumpur (HKL) tepat pukul 4.40 petang dengan ditemani seorang doktor dari hospital berkenaan.



Selepas diturunkan dari pesawat jenis Super Lynx dari Skuadron 501 berpangkalan di Lumut, Perak itu, bayi terbabit yang diletakkan di dalam inkubator dibawa ke IJN dengan ambulans yang sedia menunggu ketibaanya.



Kenyataan akhbar TLDM Lumut kepada Bernama hari ini memaklumkan, Doktor Lai Chee Seng yang merawat bayi itu mengesahkan bayi yang dilahirkan pada 30 Okt lepas, memerlukan pemeriksaan dan pembedahan segera di IJN.



Pesawat itu diterbangkan juruterbang TLDM Left Komander SJ.Jason dibantu Left Komander Syed Muhammad Shafiq Syed Husin, menurut kenyataan itu.



Ibu bayi berkenaan, N.Kokilah, 17, masih dalam perjalanan ke IJN menaiki ambulans dari Hospital Seri Manjung, menurut nenek bayi berkenaan, N.Selvi, 38, yang ditemui Bernama di unit kecemasan IJN.



Beliau berkata cucu pertamanya itu disahkan mengalami masalah jantung selepas dilahirkan sebelum doktor membuat keputusan untuk membedah bayi berkenaan dengan kos sebanyak RM20,000.



Bapa bayi itu bekerja sebagai nelayan di Pulau Pangkor manakala ibunya seorang suri rumah. - Bernama


No comments:

Post a Comment